Rabu, 4 November 2009

PECAH MASUK RUMAH DI PANGSAPURI SERI MELATI

Semua Penduduk Yang Dihormati.

Satu kes pecah masuk rumah telah berlaku pada hari ini, 04 Nov 2009 di Blok D-1-6, Pangsapuri Seri Melati. Penghuni meninggalkan rumah lebeh kurang jam 7.00 pagi dan balik ke rumah lebeh kurang jam 1.30 tengahari mendapati rumahnya telah dipecah masuk melalui pintu belakang (dapur). Barang-barang yang hilang ialah sebuah Lap-Top, sebuah Decoder Astro, sebuah telefon bimbit, sebuah guitar dan tabung duit siling.

Sekian, dimaklumkan.

Norizan bin Hj Sulaiman

BHDSB


P/S saya agak musykil dengan kejadian ini kerana berlaku di siang hari dan kedudukan rumah tersebut adalah setentang dengan jalan masuk utama Seri Melati. Minta sesiapa yang nampak keadaan yang mencurigakan sekitar siang tadi di blok B memberi maklumat pada Polis. Nampaknya memang JAGA yang ada itu hanya menJAGA pejabat Penyenggaraan sahaja...hmmmmmmmm

Selasa, 20 Oktober 2009

Perkhidmatan Wi-Fi

JMB seri melati telah menyediakan perkhidmatan Wi-Fi kepada penghuni Seri Melati tetapi limited kepada penghuni yang tidak mempunyai tunggakan. Tentunya bayaran untuk perkhidmatan tersebut di bayar menggunakan hasil dari kutapan tunggakan dan bukannya sumbangan bulanan penduduk yang berhutang!! Syabas JMB maju selangkah lagi.

KES PECAH RUMAH DI SERI MELATI

Salam semua, agak lama tak up-date blog ni sejak sebelum Hari Raya hingga dah habis bulan Syawal. Apa pun hari ini saya nak masukkan satu berita yang kurang baik untuk dikongsi.

Saya baru mendapat berita dari seorang Penghuni Seri Melati (dirahsiakan nama atas permintaan) bahawa rumah beliau telah dipecah masuk pada 2 minggu lepas. Beliau memaklumkan bahawa kejadian berlaku mungkin sekitar tengahari kerana tiada orang dirumah (suami-isteri bekerja). Laporan Polis juga telah dibuat.

Kehilangan harta-benda beliau tidak maklumkan. Apa pun disini saya ingin mengingatkan pada semua Warga Seri Melati agar meningkatkan tahap keselamatan dirumah masing-masing, lebih-lebih lagi pada suami-isteri yang bekerja dan meninggalkan rumah pada siang hari. Kita memang ada JAGA di Seri Melati tapi nampaknya saya inginkan cadangkan pada Pengurusan agar maklumkan pada Penduduk bahawa Perkhidmatan JAGA tersebut akan ditamatkan. Kerana setidak-tidaknya Penduduk tidak akan menyalahkan Pihak Pengurusan kerana memang tiada Perkhidmatan JAGA di Seri Melati. Tidak-tidak pun dapat juga digunakan wang untuk membayar gaji JAGA tersebut ke atas perkara yang lebih bermanafaat untuk *SEMUA WARGA SERI MELATI (*SEMUA disini bermaksud yang tiada tunggakan walaupun anda membayar penuh pada Pengurusan sekarang dan hutang anda adalah bersama Pengurusan lama-harap maklum).

Khamis, 17 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Salam semua warga Seri Melati Ramadhan tahun ini semakin menghampiri penamatnya dan InsyAllah 3 hari lagi Syawal akan menjelma.

Dikesempatan ini saya ingin memohon seribu kemaafan dari semua andainya ada tutur kata yang menyakitkan hati samada sengaja atau tidak, mungkin perbuatan yang tidak disenangi tanpa saya sedari. Dari hujung rambut hingga hujung jari kaki saya mohon kemaafan.

Jemput kerumah saya selepas balik bercuti nanti InsyAllah pada 28hb.Sept. nanti.

SALAM AIDIL FITRI DARI SAYA SEKELUARGA
MOHON AMPUN MAAF ZAHIR BATIN

AZIZUDDIN ZAILAN

Ahad, 13 September 2009

Tender untuk membina Dewan Serbaguna di PSM

Tawaran sebutharga untuk membina sebuah dewan di tampalkan di papan iklan di tangga saya.
1. Tiada lukisan, spesifikasi an rujukan untuk menawarkan harga cuma saiz dewan sahaja.
2. Implikasi dari itu, setiap sebut harga tidak dapat perbandingan yang saksama (org jawa kata "apple to apple comparison")
3. apa pandangan penduduk? setuju?, tak setuju?. Pandangan JMB bagaimana? saya mengandaikan jmb berpendapat mereka boleh membina dewan tersebut dgn menggunakan dana yang ada berpandukan Akta 663.
4. Apakah risiko perundangan terhadap pembinaan dewan tersebut? Penduduk di Blok B dan A (yang akan menerima impak dari pembinaan tersebut) boleh mencuba (trial case) untuk mencabar kesahihan pembinaan tersebut dimahkamah. salah satu alasan yang boleh diberi adalah tiada layout bangunan lain diluluskan sewaktu membeli unit PSM. Nisbah kawasan lapang dan bangunan semakin kecil dsbnyan.
5. Setiap penduduk boleh mengemukakan sebutharga dan kita dapat melihat ketelusan mereka menganalisa setiap sebutharga.

Wassalam.

Strategi mencemar Islam

Mazhab Yang Hampir Sama Dengan Islam


Bahaya mazhab Kristian yang 'mirip' Islam - gambar
Sebuah sektsa dalam agama Kristian, cara peribadatannya hampir sama dengan Islam. Sukar untuk membezakan kristian gaya baru ini? Ketika Maghrib telah tiba. Belasan orang di Hotel Sahid Surabaya bergegas untuk solat. Semuanya berkopiah dan dipimpin oleh seorang imam. Jangan terkeliru, mereka bukan kaum Muslimin yang sedang menunaikan kewajiban solat Mahgrib. Mereka adalah jamaah Kristian Ortodok .
Kristian ortodok, sebuah sektsa dalam agama Kristian. Boleh jadi, orang awam akan terkeliru sebab, sektsa ini memang sangat hampir sama dengan Islam. Bukan saja asalnya serumpun, Timur Tengah, tapi juga ritual dan tatacara peribadatannya hampir sama. Tengoklah ketika mereka solat. Selain berkopiah dan dipimpin oleh seorang imam, bila berjemaah, juga menggunakan bahasa Arab.
Rukun solatnya pun hampir sama. Ada ruku' dan sujud. Bezanya, bila kaum Muslimin diwajibkan sholat 5 kali sehari,penganut Kristian ortodok lebih banyak lagi, 7 kali sehari setiap 3 jam; masing-masing dua rakaat. Mereka menyebutnya:
~ sa'atul
awwal (fajar/shubuh),
~ sa'atuts tsalis(dhuha),
~ sa'atus s ad is (dhuhur),
~
sa'atut tis'ah (ashar),
~ sa'atul ghurub (maghrib),
~ sa'atun naum (Isya'),
~
dan sa'atul layl (tengah malam).

Begitu juga dengan amalan puasa.. Puasa wajib bagi orang Islam dilakukan selama sebulan dalam setahun, dikenal dengan Shaumu Ramadhan. Sedangkan pada Kristian ortodok disebut shaumil kabir (puasa 40hari berturut-turut) yang dilakukan sekitar bulan April. Jika dalam Islam ada puasa sunah Isnin - Kamis, pada kristian ortodok dilakukan pada Rabu dan Juma'at, dalam rangka mengenang kesengsaraan Kristus.
Selain sholat dan puasa, jamaah Kristian ortodok juga mengenakan zakat. Zakat, dalam ajaran Kristian ortodok, adalah satu persepuluh dari pendapatan. Gambaran ajaran kristian ortodok yang mungkin membuat anda keliru.... jadi berhati-hatilah kita tentang ajaran kristian ortodok..... hebah kan lah pada kawan-kawan kite...Yang pasti............ ini bukan ayat al-Quran.....
Semoga kita semua berhati-hati..... jangan sampai terbeli......dan digantung di rumah kita. Sebarkanlah supaya semua teman-teman kita maklum. Tolong Baca.Jangan biarkan kita di perbodohkan oleh orang-orang KAFIR...............
Perhatian... Kalau ternampak penghujungnya ditulis Surah Injilu Matay terus reject


Sepatah dua :
Assalammualaikum Al Muslimin dan sahabat-sahabat semua....
sila baca dan edarkan kepada sesiapa yangbelum lagi membaca posting ini....Jangan jadikan ia sebagai posting berantai tetapi anggaplah satu yang penting kerana kita telah mengetahui akan pekara ini...
Itulah agenda Kristian, maka berhati-hatilah..... Jangan terpedaya pada rupanya sahaja tetapi tengok dan selidikilah isinya juga...tengok keseluruhan. Memang ianya nampak cantik sekiranya dibuat untuk menghiasi dinding rumah, Hhmm.... sekali pandang macam ayat/kalimah
Al-Quran......sebenar ayat Bible

wallahualammmubissawab.........

Artikel ini di petik dari laman blog Putri Junairah.

Khamis, 3 September 2009

ZAKAT FITRAH


Salam kepada semua warga Bandar Seri Putra. Alhamdulillah dah lebih 10 hari kita berpuasa .
Bagi menunaikan Rukun Islam yang keempat iaitu menunaikan zakat, Muslimin&Muslimat Bandar Seri Putra bolehlah membayar Zakat Fitrah untuk tahun 1430H (2009) ini pada 2 amil yang telah dilantik oleh pihak Lembaga Zakat Selangor untuk Kariah Bandar Seri Putra iaitu :
  1. Tuan Haji Abdul Rani (Surau As Syakirin)-setiap waktu Solat Fardhu&selepas Sunat Tarawih No H/p: 016-4460838 dan
  2. En.Nik Hazmi (Surau Al-Hijrah Putra Tropika).
Kadar Zakat Fitrah yang telah ditetapkan di Negeri Selangor untuk tahun ini adalah RM7.00 seorang.

Wasallam

Jumaat, 28 Ogos 2009

LAPURAN PECAH MASUK RUMAH

Semua Penduduk Yang Dihormati,

1. Dua kejadian pecah rumah telah berlaku seperti berikut: -

a. Pada 26 Ogos 2009 Di Blok L-13-6, Apartmen Vista Seri Putra.

(1) Rumah diduduki oleh student KUIS.

(2) Disedari rumah telah dipecah masuk sekembalinya lebeh kurang jam 8.00 malam.

(3) Barang yang dicuri ialah dua buah Lap-Top.

b. Pada 27 Ogos 2009 Di No. 54, Jalan Seri Putra 3/9.

(1) Mangsa keluar rumah lebih kurang jam 4.30 petang dan balik lebih kurang jam 11.00 malam

mendapati rumah telah dipecah masuk melalui tingkap dapur.

(2) Barang-barang yang telah dikenalpasti hilang ialah sebuah Lap-Top, barang-barang kemas dan jam tangan.

(3) Sebelum kejadian, pada pagi 26 Ogos 2009 semasa isteri keluar hendak pergi ke tempat kerja kelihatan

seorang lelaki berbangsa Bangladesh berjalan dihadapan rumah dengan membawa beg plastik.

Saspek yang sama juga dilihat berjalan tidak jauh dari rumah mangsa pada 27 Ogos 2009 lebih kurang

jam 4.30 petang pada hari kejadian.

(4) Saspek badan tinggi kurus dan berkulit gelap.

2. Semua penduduk adalah diingatkan sentiasa berwaspada dengan MO kejadian seperti ini. Lebih-lebih lagi menjelangnya perayaan

Aidil Fitri yang akan tiba tidak lama lagi. Penjenayah-penjenayah mula dengan gerakan mereka mencari mangsa untuk pendapatannya.

Sebarang saspek yang dicurigai hendaklah diperhati dan diambil berat dengan melapurkan kepada pihak Polis untuk bantuan rondaan pemantauan.

Sebagai langkah pencegahan dan menghalang daripada kejadian seumpama berlaku, setiap pergerakan orang-orang yang tidak dikenali

dan tiada kena mengena disetiap taman hendaklah disoal dan dilabelkan sebagai saspek. Kita bukan hendak berniat jahat dan memandang

serong kepada orang yang tidak dikenali tetapi ini adalah langkah yang baik untuk diikuti supaya tidak berlaku seperti di atas.

3. Kepada yang mempunyai apa-apa maklumat yang boleh dikongsi bersama sebagai langkah pencegahan, silalah hebahkan melalui laman

Ini. Setidak-tidaknya kita mengetahui apa yang telah berlaku dan dijangka akan berlaku dipersekitaran kita kerana ini akan meletakkan kita

semua sentiasa dalam berjaga-jaga.

Sekian.

Norizan bin Hj Sulaiman

Eksekutif (Keselamatan)

BHDSB

Rabu, 26 Ogos 2009

Salam Ramadhan

Belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Ramadhan pada semua Warga Seri Melati yang baru masuk hari kelima ini. Semuga kehadiran Ramadhan terus memberi peluang pada kita untuk menambah akaun akhirat kita, InsyAllah

Salam Takziah

Al Fatihah

Warga Seri Melati mengucapkan salam Takziah kepada Puan Mazidah (Guru SK Bandar Seri Putra)& Suami En. M.Noh (Blok E) kerana Ayahandanya telah pulang ke Rahmatullah pada pagi hari Selasa 25hb Ogos 2009. Semoga Allahyarham diletakkan disisi orang-orang beriman. Amin


Jumaat, 21 Ogos 2009

Ramadan Al Mubarak.

Ramadan, bulan yang dipenuhi seribu hikhmah tiba lagi bagi melengkapkan pusingan dan putaran kehidupan yang telah di atur oleh yang maha Esa. syukur kehadrat illahi kerana kita di beri kesempatan sekali lagi untuk bersama mengimarah dan berusaha untuk mendapatkan segala pahala dan hikmah yang dijanjikan. Janji Allah itu akan tiba bila tiba masanya. Selamat mengerjakan ibadah puasa, sesungguhnya puasa itu adalah antara hamba dan penciptanya!!

pencerobohan ke kawasan bersama (Common area)



Pencerobohan bermula apabila beberapa individu mula membuat binaan kekal (menyambung rumah) kekawasan bersama. Bangunan tambahan di buat untuk tujuan pembesaran rumah dan juga sebagai bengkel memproses makanan untuk penjualan. Lapuran telah di buat kepada pihak berkuasa. jawapan yang diterima dari pihak berkuasa mengatakan isu ini telah selesai. Dari pemerhatian penduduk, tiada apa-apa tindakan dibuat. Kelemahan penguatkuasaan seakan memberi kebenaran kepada mana-mana individu untuk melakukan pencerobohan ini tanpa rasa bersalah atau menghormati individu lain yang menghuni apartment ini. Kini individu yang paling berkuasa dalam pengurusan Apartment ini dilihat melakukan perkara yang sama sejajar dengan individu yang mempunyai jawatan dalam pengurusan Apartment ini. Tindakan mereka ini telah menjadi rujukan dan contoh untuk di ikut oleh penghuni Apartment yang berjiran.

Apakah ini dibenarkan oleh undang-undang dan peraturan agama yang dianut?

Isnin, 17 Ogos 2009

LAPURAN PECAH MASUK RUMAH

Semua Penduduk Yang dihormati,

Laporan pecah masuk rumah diterima daripada sebuah rumah penduduk di Jalan 3/N (D’Sentral – Semi-D). Mangsa baru berpindah masuk barang-barang rumah satu minggu yang lepas dan belum menduduki rumah tersebut. Sekembalinya pada 15 Ogos 2009 selepas satu munggu berada di kampong mendapati rumahnya telah dipecah masuk melalui ‘sliding door’ bahagian tepi rumah. Barang-barang yang dicuri ialah barang-barang kemas, laptop, kamera digital, jam tangan dan sejumlah wang tunai yang tidak dapat disahkan.

Sila hebahkan kepada semua penduduk melalui yahoogroups skim masing-masing supaya kita sama-sama tidak leka dengan kejadian jenayah seumpama ini kerana kejadian pecah masuk rumah boleh dikatakan sentiasa berlaku di dalam BSP. Walaupun peratusannya tidak tinggi tetapi penduduk tetap terancam dengan kejadian yang amat dirisaukan yang tidak sepatutnya berlaku lagi.

Sekian.

Norizan bin Hj Sulaiman

BHDSB

Rabu, 12 Ogos 2009

Lampu tangga akan ditutup.........

Salam semua warga Pangsapuri Seri Melati, jika tuan/puan perasan ada memo baru dari JMB yang ditampal dipapan kenyataan. Antara ayatnya lampu tangga dimana semua 4 unit yang tidak membayar yuran penyenggaraan akan ditanggalkan (tutuplah tu). Saya masih teringat peringkat awal tahun 2002 masa saya pindah ke Seri Melati ni berbulan-bulan lampu tangga tak hidup. Saya ambil langkah selamat dengan memasang satu lampu kalimantan pendek diluar rumah saya pasal kadang2 saya balik kerja lambat jadi setidak2nya luar rumah saya tu terang dan keluarga saya rasa agak selamat. Cuma nak tanya selama berbulan2 lampu tangga tak MENYALA (duit maintenance dah bayar,siap advanced 6 bulan lagi) dan saya pasang lampu sendiri tak pernah pulak saya tuntut bil letrik saya dan tiada refund pun dari Bangi Heights.

Kenapa pulak sekarang timbul isu nak tutup lampu tangga??? Saya harap kalau ada AJK JMB yang baca posting tolonglah jawab nak juga tahu apa ulasan JMB. Alat pemadam api yang diwar-warkan dipasang disemua tangga hanya cakap kosong je terutama di Blok D satu tangga pun tiada alat pemadam api tu. Blok A semua tangga ada, Blok B hanya 1 di tangga 9-12, Blok C kecuali 1 tangga tiada iaitu 5-8 dan blok E semua tangga ada. Pelik betul letak pemadam api pun ikut kategori penduduk ke.

Harap moto Dari Penduduk Untuk Penduduk tu tidak hanya untuk letter head saja.

Selasa, 28 Julai 2009

Tarik Kenderaan...

Hari Isnin 27/07/09 diberitakan berlaku insiden TARIK KENDERAAN di dalam kawasan Pangsapuri Seri Melati ini. Sepatutnya ianya tidak boleh dan TIDAK DIBENARKAN bagi seorang Penarik Kereta untuk melakukan demikian kerana atas apa alasan sekalipun ianya tidak boleh dilakukan kerana adalah menjadi SATU KESALAHAN ianya dilakukan didalam dikawasan yang BERPAGAR dan mempunyai PENGAWAL KESELAMATAN.

Isnin, 20 Julai 2009

Bil Air Syabas

Hari ini warga Seri Melati buat pertama kali menerima Bil Air dari SYABAS. AKhirnya dapat juga merasa bil air yang sama macam orang lain di Selangor, dapat air percuma 20 meter padu yang pertama. Jumlah yang saya perlu bayar selepas tolak yang percuma tu.....

RM1.25 DIULANG RINGGIT MALAYSIA SATU DAN DUA PULUH LIMA SEN SAHAJA

YAHOOOOOOOOO................tuan/puan yang lain macamana,berapa BIL AIR anda.....

Awas Pencuri Kasut

Salam semua warga Seri Melati, lama tak post dalam blog ni dan dah naik berhabuk.......heheheee sibuk sikit dan tiada idea nak post.

Apapun hari ini saya nak beri peringatan tentang Pencuri Kasut yang semakin bermaharajalela di Seri Melati ini. Sabtu lepas dalam pukul 6.00 saya buka pintu rumah saya tengok seorang lelaki melayu kulit hitam manis dalam umur lingkungan 30an sedang membelek-belek rak kasut jiran depan rumah (beliau sekeluarga tiada rumah masa tu). Nampak saja saya terus dia capai topi keledar atas rak kasut tu dan berjalan laju keluar ketempat letak motorsikal disebelah blok D, saya terus bergegas keluar dan cuba mencari lelaki tadi, cari2 dah hilang.....huii cepatnya. Periksa dengan jiran depan dia tak perasan katanya, balik semula di rak kasut tu saya lihat sepasang kasut sukan dan dikeluarkan.

Balik hari ini jiran saya kata memang sah hilang 2 pasang kasut kemudian jiran2 di Blok C pun ada bagitahu kasut dah banyak hilang. Jadi tuan/puan Warga Seri Melati kemas-kemaskanlah kasut yang diletak luar rumah tu sebelum "dikemaskan" oleh orang lain. Nampak saja kelibat orang mencurigakan talipon saja Balai Polis Bangi 03-89258222 atau bagitahu pada SECURITY di pondok Pengawal..itu pun kalau adalah dia orang kat dalam tu.


Jumaat, 19 Jun 2009

Awas...Individu menyamar

Salam semua warga Pangsapuri Seri Melati. Diminta semua berwaspada dengan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan dari Indah Water Konsortium. Maklumat yang diterima bahawa mondus operandi individu ini adalah secara solo. Beliau berkulit hitam menaiki Proton Satria warna biru. Dua kes telah dikesan di Putra Terrace iaitu suspek ini akan pergi ke bahagian belakang rumah dan memberi Salam, apabila salam di jawab beliau akan memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan dari Indah Water yang kononnya mendapat aduan berlaku kerosakan di rumah mangsa.

Difahamkan kejadian pertama berlaku pada hari Jumaat lepas ketika waktu Sembahyang Jumaat, Isteri tuan rumah telah menjawab salam dan membuka pintu belakang. Bagaimanapun suspek terus menghilangkan diri apabila Isteri tuan rumah berkata tiada aduan pernah dibuat. Kes kedua keesokan harinya suspek telah pergi kesebuah rumah melalui lorong belakang dan memberi salam, seorang Pembantu Rumah telah menjawab salam dan suspek membuat dakwaan bahawa aduan diterima berlaku kerosakan dirumah tersebut. Pembantu rumah tersebut telah membuka pintu belakang dan suspek masuk dan menyuruh pembantu rumah membuka pili air dapur untuk tujuan pemeriksaan dan ketika itu suspek mengambil kesempatan memasuki rumah dan antara barangan yang dilaporkan hilang adalah laptop.

Suspek ini juga dipercayai adalah orang yang sama memecah masuk kebeberapa buah rumah melalui pintu belakang dengan cara beliau akan memberi salam dahulu dan setelah memastikan tiada orang yang menjawab suspek akan mengumpil tingkap belakang dan memasuki rumah mangsa.

JADI SEMUA WARGA SERI MELATI BERHATI-HATI DAN MAKLUMKAN KEPADA POLIS SEKIRANYA MELIHAT SEBARANG AKTIVITI YANG MENCURIGAKAN BERLAKU DISEKELILING ANDA.

Rabu, 17 Jun 2009

AGM JMB

Salam tuan/puan warga Seri Melati, saya menyeru kepada semua agar menghantar borang kehadiran ke AGM JMB (pada 28/06/09 ini nanti) sebelum Isnin 22/06/09 dengan segera. Gunakan hak kita sebagai Penduduk2 Pangsapuri Seri Melati dalam AGM tersebut dengan bijaksana. Sila war-warkan kepada jiran-jiran kita yang mungkin terlupa.

Hak kita, kita yang menentukannya

Isnin, 15 Jun 2009

Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra (SKBSP)

Cerita SKBSP bila nak akan dibuka ni telah berlarutan sejak awal tahun 2009 lagi. Yang terbaru kisahnya akan dibuka pula pada Isnin 29/06/09 akan datang ini. Saya sendiri ayah kepada anak-anak yang terlibat dengan perpindahan ini agak ragu-ragu dengan keadaan fizikal Bangunan Sekolah itu sendiri, kerana ianya belum siap 100% untuk diduduki. Bukan kerana saya sendiri terlibat dalam industri pembinaan tapi dari rakan yang bertugas sebagai Jurutera Residen di tapak juga memberitahu akan ketidaksiapan Bangunan Sekolah tersebut untuk digunakan. Tembok penahan dibahagian belakang menghadap TownHouse (Putra Villa) telah diperbaiki untuk kali kedua sejak ianya siap kerana pergerakan tanah telah menyebabkan tembok tersebut bergerak.

Saya tidak bertujuan menakut-nakutkan atau cuba menghalang perpindahan ini, tapi pada saya keselamatan anak-anak kita adalah lebih utama dari segalanya. Tidak perlu kita tergesa-gesa untuk menunggu tahun depan yang tinggal kurang 6 bulan dari sekarang demi memastikan keselamatan anak-anak kita terjamin kerana sebelum ini pun kita telah menunggu lebih dari 6 tahun untuk mendapatkan Sekolah ini. Pada saya biarlah anak-anak kita bersesak sementara di SK Bangi untuk 2-3 bulan ini. Berkorban wang-ringgit dan keringat buat sementara adalah lebih baik dari 'Terkorban nyawa'.

Bagaimanapun ini hanyalah pandangan saya sahaja andaikata pihak-pihak atasan memastikan bahawa SKBSP boleh dan selamat untuk digunakan maka berpindahlah anak-anak kita nanti. Wallahualam

Meter Air...

Salam semua lama rasanya tak update blog ni. Bukan taknak menulis tapi lihat pada keadaan semasa juga, dan hari ini dapat bahan untuk dimasukkan di blog ini. Hari Rabu 10/06/09 yang lepas proses penukaran meter air pukal ke meter individu telah dilaksanakan oleh pihak SYABAS. Syabas nak diucapkan kerana masalah yang membelenggu Warga Pangsapuri Seri Melati selama ini dapat diselesaikan. Selepas ini tuan/puan bertanggungjawab untuk melunaskan bayaran bil air kepada SYABAS dengan kadar yang lebih murah (mungkin separuh daripada yang kita guna/bayar sebelum ini kepada pihak PENYENGGARA. Apapun tuan/puan harus beringat selepas ini kalau datang surat merah (kes tertunggak) maka kenalah jawab sendiri samada bayar bil tertunggak dengan segera atau SYABAS akan memotong bekalan air anda.

Yang terbaru Pihak JMB telah mengutus surat jemputan kepada semua Penduduk berkenaan Mesyuarat Agung JMB yang akan diadakan pada 28/06/09 Ahad di Surau As Syakirin. Cuma satu persoalan bagaimana dengan yang bukan Islam dijemput juga ke kalau berpandukan pada Tempat mesyuarat akan diadakan. Harap semuanya dijemput tiada yang terkecuali.

Khamis, 7 Mei 2009

Air melimpah-limpah

Salam semua..Malam tadi 6/5/09 saya balik lewat sikit dari kerja. Sampai dirumah dah hampir pukul 10 malam. Rehat kejap, mandi, sembahyang dah hampir 10.30 malam baru nak jamah nasi hp berbunyi. "Ziz, boleh jumpa kat luar rumah kejap?" soalan dari seorang jiran macam biasa saya jawab "boleh tapi kena tunggu kejap baru nak makan".

Lebih kurang 10 minit siap makan saya keluar rumah ada 2 orang jiran dari blok B&D dah menunggu. Salam terus tanya ada masalah ke. Jiran dari blok B tangga tengah beritahu bahawa tangki air atas tu katanya dah rosak pelampungnya dan air telah melimpah turun. Saya perasan minggu lepas air dah melimpah ruah turun dari tangki tu. Dah dilapurkan pada JMB katanya dan jawapannya mahal nak ganti dekat RM1000.00 (mak oiii emas apa ke) dan JMB takde duit. Jadi buat sementara terpaksalah valve tangki tu ditutup secara manual (orang kena panjat kat atas siling untuk buka dan tutup valve tangki tu. Hasilnya malam tadi valve tu dibuka dan takde orang yang nak tutup maka melimpahle air dari tangki tu. RM1000.00 mahal takde duit nak tukar macamana pulak dengan meter air yang berpusing dan pump kt dalam pump house tu yang bekerja je, kalau rosak pump tu lagi haru. Saya jawab pagi besok InsyAllah saya akan call COB MPKj dan minta pertolongan mereka untuk arahkan JMB baiki kerosakan tersebut. Itu saja yang boleh saya buat, kerana nak mengalihkan dahan ranting kayu kat taman permainan tu dekat sebulan baru clear bayangkanlah kes yang sebegini.

Sementara tu balik kerumah saya terus SMS ke Pengerusi JMB minta ambil tindakan segera (bukanlah malam ni jugak,saya pun faham kemampuan masing2) supaya PEMBAZIRAN ini dapat diminimakan macam JAGA kat depan tu yang duduk je dalam sangkar...kemudian letak signage 'Pengawal Sedang Meronda'ataupun 'Pengawal Sedang Berehat' uiksss tak boleh kacau le ya kalau signage2 tu naik kat depan sarang dia orang tu.

Isnin, 27 April 2009

Dahan oh dahan...ranting oh ranting....

Hari ini Isnin 27/04/09 pagi2 saya jengok kat taman kita tu....pemandangan yang sama sejak 1-2 minggu lepas masih ada....cuma warna dahan&ranting tu je yang bertukar daun hijau dan jadi coklat (kering le tu)..dahan2 pun dah boleh jadi kayu api.

Saya ada SMS ke Pengerusi JMB hari khamis lepas tanya bila nak punggah sampah sarap kat taman tu balasan yang diterima kita tengah urus lori esok (Jumaat) akan diselesaikan. Tapi sampai pagi masih kat situ lagi...ke nak buat bakar lemang...takde dengar cerita pulak.

Lagi satu Sabtu lepas 25/04/09 dengarnya ada Joint Inspection dengan SYABAS pasal tukar meter individu, kebetulan saya kerja hari tu, balik tanya Isteri katanya tak nampak siapa2 pun datang. Apa cerita lagi???

Rabu, 22 April 2009

LAPORAN KECURIAN KERETA DI PUTRA VILLA (TOWN HOUSE) PADA 22 APR 2009

Penduduk yang dihormati,

Sebuah kereta jenis TOYOTA HILUX bernombor daftar WHS 5049 (dilaporkan baru satu bulan dibeli – menggunakan plat nombor lama) telah didapati hilang pada pagi, 22 Apr 2009. Kereta tersebut yang diletakkan di luar hadapan rumah No. 22 Jalan Seri Putra 7/4 didapati tiada disebelah pagi semasa hendak keluar ke tempat kerja. Kehilangan mungkin berlaku diantara jam 1.00 hingga jam 6.00 pagi. Barang-barang yang hilang bersama yang ditinggalkan di dalam kereta tersebut ialah sebuah Lap-Top dan dokumen-dokumen penting kepunyaan syarikat.

Seperti yang semua sedia maklum, kehilangan kereta dan motorsikal berluasa berlaku di mana-mana jua tidak kira tempat dan masa. Semua adalah diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga apabila hendak meletak atau meninggalkan kereta dengan menentukan kereta dikunci serta dikunci dengan kunci tambahan. Seperkara lagi yang sering diperingatkan supaya tidak meninggalkan barang-barang penting dan berharga di dalam kereta kerana selain daripada kereta dicuri ianya juga akan menjadi minat dan keinginan kepada penjenayah memecah cermin kereta untuk mencuri barang-barang yang terdapat di dalamnya.

Sila hebahkan kepada semua saudara-saudara, rakan-rakan, sahabat-sahabat, kawan-kawan dan jiran-jiran agar kejadian sebegini dapat dikongsi bersama untuk sentiasa beringat diantara satu sama lain dan mengawasi kawasan kediaman masing-masing daripada kehadiran penjenayah-penjenayah yang tidak diduga. Sebarang perkara yang nampak dicurigai, ditakuti atau diwas-was hendaklah segera dilaporkan kepada pihak Polis ditalian 03-8925 8222 untuk diambil tindakan segera sebagai tindakan menghalang dan mencegah jenayah.

Sekian.

Norizan bin Hj Sulaiman

Eksekutif Keselamatan

nsizan@umland.com.my

Bangi Heights Development Sdn Bhd

Selasa, 21 April 2009

Surat Merah dari JMB

Hari ini balik dari kerja apabila saya buka peti surat, nampak kertas merah yang agak tebal. Saya ambil dan lihat kandungannya NOTIS CAJ TERTUNGGAK dari JMB Seri Melati. Hmmmm bila pulak bil Maintenance saya tertunggak sejak JMB ambil-alih ni, kerana sejak Jun 2008 JMB ambil-alih dari Bangi Heights tak pernah lagi saya TERTUNGGAK apa2 bil yang dihantar kepada saya. Kalau ada pun semuanya yang tertunggak dek sebab KEGAGALAN Bangi Heights sebelum ini buat kerja jadi kalau takde kerja yang dibuat perlukah saya membayarnya??? Bak kata Nabil hah lu pikirlah sendiri. Hatta sebaik JMB ambil alih dua bulan pertama saya membayar lebih dari RM50.00 caj penyenggaraan yang sepatutnya dibayar kerana ingin menyokong JMB Pangsapuri Seri Melati. Tapi lepas bulan ketiga saya lihat macam "Pesta" pulak duit yang Penduduk Pangsapuri ini bayar untuk tujuan Penyenggaraan dibelanjakan.

Apa sebab saya kata Pesta, 1) Peringkat awal Kakitangan diambil pekerja takde pulak diiklankan Jawatan Kerani yang ada cleaner full time&part time (utk selesaikan hutang) Pengawal sama gak mcm cleaner tau2 ada 2 orang kerani yang bertugas (orang dalam pulak tu), 2) buat pintu pagar laluan pejalan kaki, tak nampak ada tender ke, bagitau kat penduduk ke lgi sekali tau2 buat dan siap pintu pagar 3) Ada macam2 elaun pada AJK JMB rasa saya takde masalah kalau perlu dibayar tapi yang jadi isunya kerani diambil 2-3 orang untuk bekerja dibayar gaji dalam masa yang AJK pun bekerja dibayar elaun jugak sampai yang tak aktif pun dibayar elaun hmmmmmmm......Ini soal duit orang-ramai yang digunakan tanpa diberitahu tujuan penggunaannya.

Saya tak nak tulis banyak2 kat sini nanti dikatakan pulak membuka pekung didada kerana saya sendiri tinggal disini tapi kena ingat siapa2 pun yang jadi AJK JMB tuan2/puan2 DIAMANAHKAN untuk menguruskan perbelanjaan penyenggaraan Pangsapuri Seri Melati bukan MEMBELANJAKAN wang pendapatan yang dikutip dari Penduduk. Kami sokong JMB kerana ianya ditubuhkan dari Penduduk untuk Penduduk tapi dalam masa yang sama Pemaju tidak dilepaskan kerana mereka masih lagi bertanggungjawab. Jadi apa yang tertunggak antara mereka yang berhutang dengan Bangi Heights termasuk saya, itu tanggungjawab kami dengan Pemaju. JMB terus jalankan tugas kerana anda disokong tapi kebelakangan ini saya lihat kutipan bulanan caj penyenggaraan saya rasa makin merosot kerana tangga saya sendiri dari 20 unit rumah hanya 6 unit saja yang membayar...kenapa ya???

SILA SEMAK HP ANAK ANDA

Artikel dipetik dari website Sekolah Kebangsaan Bangi (www.skbangi.com), Para Ibu-bapa nampaknya kita kena pantau anak-anak kita luaran dan dalaman dengan lebih teliti sekarang ini.

  Dewasa ini keperluan pada alat tefelon bimbit semakin melebar dikalangan remaja dan anak-anak sekolah rendah. Keperluan berdasarkan keadaan semasa, memudahkan ibu dan ayah berkomunikasi dengan anak-anak.

Namun, kemudahan ini telah disalahgunakan oleh segelintir mereka. Ibu dan bapa sibuk, tidak pernah pun sesekali terdetik dan bertindak ingin melihat apa yang ada dalam koleksi anak mereka. Maklum zaman sekarang itulah cobaan.

Saya memandang serius kes ini, apalagi ianya berlaku di sekolah rendah. Jadi...berhubung artikel ini, mohon ibu dan bapa murid SK Bangi mengambil inisiatif. Kes ini mungkin ada, dan yang lebih merisaukan ialah, kemungkinan lebih ramai yang telibat secara diam-diam dalam kes yang sama.

MUDARAT PORNOGRAFI PADA SISTEM PEMBELAJARAN

Isnin, 20 April 2009

Kejohanan Badminton Antara Taman BAndar Seri Putra 2009

Sebagaimana amalan biasa penganjuran Sukan tahunan, tahun ini Kejohanan Sukan Antara Taman2 Bandar Seri Putra anjuran Kelab Sukan Bandar Seri Putra dengan kerjasama semua Persatuan Penduduk akan dimulakan dengan Kejohanan Badminton yang dicadangkan seperti berikut :

Tarikah : 16hb Mei 2009 (Perlawanan2 Pusingan Awal) -17hb Mei 2009(Perlawanan Separuh Akhir& Akhir)
Tempat : Komplek Sukan MPKj Seksyen 15 Bandar Baru Bangi
Masa : Jam 8 pagi - petang

Tunggu maklumat lanjut dari Biro Sukan Kelab selepas ini untuk maklumat lanjut sambil2 itu semua Persatuan Penduduk apa tunggu lagi siapkan Pasukan anda untuk kejohanan ini.

Biro Sukan Kelab Sukan Bandar Seri Putra

Tayar kereta dicucuk/ditoreh.....

pagi tadi saya dapat berita yang tak berapa enak untuk di dengar...telah terjadi kejadian mencucuk/menoreh tayar kereta berlaku pada jiran kita. Bukan sekali bukan dua tapi dah 3 kali tayar kereta yang sama dirosakkan. Tuan punya kereta telah pun melapurkan kejadian ini kepada pihak Polis. Dimaklumkan kereta beliau tidaklah diletakkan di petak orang lain dan beliau juga bukanlah manuasia yang banyak bercakap mahupun menyakiti hati orang lain. Saya rasa penduduk Pangsapuri Seri Melati kita kena mula "menjaga tepi kain orang" kerana orang yang diharap untuk tolong jaga kain kita pun "TERTIARAP"....laporkan terus kepada pihak Polis sekiranya perkara ini terjadi kepada anda. Jangan beri peluang perkara yang boleh memecah belahkan keharmonian kita terjadi ke atas Penduduk Pangsapuri Seri Melati.

Ahad, 19 April 2009

Gambar dahan,ranting pokok ....



Ini gambar dahan, ranting pokok yang saya ambil hari ini Ahad 19/04/09 masuk 5 hari dah... nampak gayanya tunggu daun tu tukar warna coklat (kering le tu) baru nak berangkat kot. Saya ada tanya Pekerja JMB katanya takde lori nak angkat. Dah tau takde lori kenapalah dicantas dulu. Ada komen ke tuan/puan???

Sabtu, 18 April 2009

Dahan,ranting pokok di Taman Permainan

Dah masuk hari ketiga ke keempat saya tengok dahan&ranting pokok yang dicantas&dipotong terbiar kat Taman permainan kanak2 kita tu (nanti saya upload gambar kemudian). Janganlah biarkan lama2 kat situ bahaya, anak2 kita juga bermain lepas tu masuk kat dalam ranting dan dahan2 tu. Nanti jadi macam pelepah kelapa sawit tahun lepas yang kering kat situ yang tak bestnya ada jiran yang buat kenduri kawin kat taman dengan keadaan dahan yang kering kontang terbiar kat situ. AJK JMB kenalah aktif jengok2 sikit tengok apa yang berlaku keliling Seri Melati ni.

Khamis, 16 April 2009

Salam Semua

Lama saya tak update blog ni, agak sibuk kebelakangan ini. Kampung kita Seri Melati pun agak tenang semenjak dua menjak ini. Tapi yang saya perasan makin ramai 'orang2 lama' Seri Melati yang berpindah dari Pangsapuri ini. Ada yang dapat rezeki beli rumah yang lebih selesa(Alhamdulillah) ada yang pindah balik kampung dan lain2 sebab yang menyebabkan mereka berpindah. Macamanapun kita yang masih tinggal disini pada saya masih bertanggungjawab untuk memakmurkan Pangsapuri Seri Melati yang tercinta ini. InsyAllah saya akan up date blog ini semampu yang boleh selepas ini.

Isnin, 16 Mac 2009

Lagi Maklumat terbaru....

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Maklumat diterima daripada OCS Balai Polis Bangi (Sub-Inspektor Ramlan) setelah menghadiri taklimat di IPD Kajang pada pagi ini, suspek pecah rumah di siang hari nombor kenderaan ACB 1122 Proton Saga lama berwarna coklat dianggotai oleh 3 lelaki berbangsa India.

Sila hebahkan kepada warga-warga dipenempatan masing-masing. Sekian, terima kasih.

Norizan bin Hj Sulaiman

Eksekutif Keselamatan Bangi Heights Development S/B.

Daripada [bspinduk] Taklimat keselamatan oleh Ketua Balai Polis Bangi

Assalamu alaikum wr wb wm.

Satu taklimat keselamatan telah diadakan oleh SI Ramlan bin Din pada 14 Mac 2009 jam 9.30 malam di Balai Polis Bangi, Bandar Seri Putra. Semua ketua-ketua kampung dan ketua-ketua masyarakat dibawah pengawasan Polis Bangi telah dijemput menghadirinya. Alhamdulillah, saya dan Saudara Najib telah turut hadir bagi pihak Persatuan Penduduk BSP.

Antara kandungan taklimat beliau ialah:
1. Kadar jenayah bagi bulan Mac telah menurun berbanding dengan bulan-bulan yang lepas.
2. Pihak Polis tidak boleh berada di satu-satu kawasan sepanjang masa. Perlu juga pengawasan bersama oleh ahli masyarakat.
3. Semua ahli masyarakat digesa memiliki nombor telefon Balai Polis Bangi bagi tujuan melaporkan kejadian jenayah dengan SEGERA 03-8925 8222.
4. Ahli masyarakat mesti mengenali jiran sebelah menyebelah dan sentiasa berjaga-jaga dengan kedatangan orang yang tidak dikenali.

Maklumat kenderaan yang dikehendaki:
1. BHJ 4719 MYVI warna hitam (no. pendaftaran palsu dan disyaki pengedar dadah)
2. NAM 1168 KANCIL warna putih (menyamar Polis dan samun)
3. WHE 9994 CITRA warna hitam (no. pendaftaran palsu dan kegiatan pecah rumah)
4. WSB 4111 TOYOTA VIOS (Hilang di Bandar Bukit Mahkota)
5. WKA 1337 YAMAHA RXZ (Hilang di Stesen Komuter Bangi)

Tindakan: Jika jumpa sila tahan dan tangkap bawa ke balai.

Diharap semua pengerusi-pengerusi skim dapat memanjangkan perkara ini kepada anak buah masing-masing. Sekian terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Ahmad Yusof.
Pengerusi JK Penaja
BSP Induk.

Khamis, 5 Mac 2009

Rumah untuk dijual...

Lokasi : Bandar Seri Putra
Jenis Rumah : Pangsapuri Seri Melati (5 Tingkat tanpa Lif)/Rumah Tingkat 1
Luas : 789 kaki persegi
Bilik : 3 bilik tidur/2 bilik air
Kemudahan : 1 petak letak kereta,dekat kedai,surau,klinik,sekolah rendah kebangsaan(bulan 6 dijangka buka),sekolah menengah dan sekolah Agama Rendah hampir siap.
Harga : RM80,000.00 (boleh dirunding)
Hubungi : 013-3374732 (En. Ben) jika berminat

Isnin, 23 Februari 2009

Insentif kerajaan Negeri Selangor

Assalamu alaikum wr wb wm.

Tuan/Puan sekelian,

Dimaklumkan insentif kerajaan Negeri Selangor yang disediakan adalah seperti berikut:
1. Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)
2. Skim Jaringan Keselamatan Sosial Warga Emas
3. Hadiah Anak Masuk Universiti
4. Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang

Borang-borang ini sekarang boleh didapati di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bangi Cawangan Putra Mahkota, Bandar Seri Putra. Diharap perkara ini dapat dipanjangkan kepada sekelian ahli dan anak kariah masing-masing yang layak. Borang ini atau keterangan lanjut mengenainya boleh didapati dengan menghubungi petugas-petugas yang dilantik melalui no telefon iaitu 012-912 6798, 013-342 6019, 019-394 8784.

Sekian terima kasih.

Yang benar,

Ahmad Yusof.
Pengerusi JK Penaja
BSP Induk

Rabu, 18 Februari 2009

Bekalan Air Pulih

Bekalan air yang terjejas dibeberapa tempat termasuk Bandar Seri Putra telah pulih.Tapi lepas beberapa hari cuba tengok gambar kat bawah ni....






ni gambar filter kat dapur dan air dalam baldi bilik air saya hari ni...masyAllah tengokle kalernye tu...macam ni lah air yang akan keluar tiap kali bekalan air terputus 2-3 hari...isteri saya nak basuh baju sekolah anak warna putih kene fikir berkali-kali...
Any Komen???

Ahad, 1 Februari 2009

En.Hamidi masuk Hospital

Tuan2/puan2 warga Seri Melati semua jiran kita En.Hamidi yang juga pemilik Restoran Hamidi Ceria telah 2 hari dimasukkan ke Wad hospital Serdang kerana disahkan menghidap demam denggi. Beliau dimasukkan ke wad 7C katil 8. Marilah sama2 kita doakan agar En.Hamidi sembuh segera InsyAllah.

Jumaat, 23 Januari 2009

DAN HAK-HAK JIRAN MENURUT PANDANGAN ISLAM



Muslim yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa mencurahkan segala bakti demi kebaikan jiran mereka yang merupakan manusia yang paling mereka kasihi.

Islam banyak mewasiatkan umatnya agar kita sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran. Menyedari betapa tingginya kedudukan jiran di dalam Islam dan peranannya dalam kehidupan kemanusiaan, Allah SWT berfirman dalam al-Quran;

Maksudnya;

“ Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin yang terdekat dan tatangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat dan ibnu as-sabil. “

(Surah an-Nisa’ : ayat 36)

(Dekat dan jauh di dalam ayat di atas dikaitkan dengan tempat, hubungan kekeluargaan dan perbedaan agama antara yang muslim dengan yang bukan muslim)

Rasulullah SAW juga sering memperingatkan kita dalam banyak hadisnya supaya kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan jiran dan sentiasa berbakti serta memuliakan mereka. Antara pesanan baginda ialah;

“ Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahawa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk diwarisi ( mendapatkan harta pusaka).”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT

ADAB-ADAB DAN HAK-HAK JIRAN

  1. Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Antara caranya dengan memulakan salam jika bertemu dengan sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Sentiasa bertoleransi samada yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.
  2. Tidak menyakiti mereka samada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar sangkaan buruk.Jiran yang jahat dan tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga hitam yang telah dirasuk syaitan sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.

Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah SAW pernah bersabda;

“ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?. Rasulullah SAW menjawab : Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“ Tidak masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.”

(Riwayat Muslim)

  1. Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia.
  2. Sentiasa merendahkan diri dan berlemah-lembut dengan mereka dan mengelak diri dari bersikap takabbur.

5. Sentiasa bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan.

6. Menyintai mereka seperti mana kita menyintai diri kita sendiri. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka, selagi tidak bertentangan dengan syariat agama dan sama-sama berusaha menghindarkan perkara-perkara yang mereka tidak sukai.

  1. Sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap segala permasalahan yang sedang mereka hadap,i sama ada yang berkaitan dengan masalah keagamaan, kekeluargaan atau rumah tangga, kejiwaan, kesihatan, pelajaran, , kewangan, makan-minum, dan sebagainya. Sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia sesama jiran sehingga akhirnya melahirkan perhubungan kejiranan yang lebih mesra dan lebih akrab.
  2. Tidak memandang rendah dan saling menghina sesama jiran, sebaliknya hendaklah sentiasa hormat menghormati dan harga-menghargai, termasuklah menghargai dan berterima kasih terhadap apa jua pemberian, khidmat dan pertolongan yang diberikan.
  3. Mengutamakan jiran yang terdekat rumahnya dengan rumah kita. Penetapan jiran terdekat ialah 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kira, sama ada di kiri, kanan, hadapan dan belakang. Terdapat tiga kategori jiran. Pertama, jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan, mereka mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga dan seorang Muslim. Kedua, jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak seorang Muslim dan Ketiga Jiran Bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu hak jiran.

10. Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahgiaan ialah ‘jiran yang baik’.

11. Sentiasa memelihara diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan dan kerosakan serta mencemar maruah dan diri jiran, termasuklah terhadap isterinya, anak-anaknya, harta bendanya dan lain-lain lagi.

  1. Elakkan sikap terlalu suka mengambil tahu hal ehwal peribadi dan keluarganya, kecuali setelah mereka sendiri mengadu untuk mendapatkan bantuan kita untuk menyelesaikannya.
  2. Bantulah mereka apabila mereka ditimpa kesusahan dan mala petaka, agar hati mereka menjadi tenang dan tenteram.
  3. Rasakan kesusahan jiran seperti kesusahan yang kita tanggung sendiri dan zahirkan kegembiraan ketika mereka bergembira, sama ada ketika mendapat rumah baru, perabut baru, kelahiran anak baru, mendapat menantu dan sebagainya.
  4. Elakkan dari memerhatikan barangan atau apa sahaja yang dibeli atau yang dibawa pulang ke rumahnya.
  5. Tidak cuai untuk menyeru mereka kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dengan cara yang paling berhikmah.
  6. Sentiasa bersabar di atas segala perlakuan buruk yang dillakukan oleh jiran, sebaik-baiknya kita hendaklah sentiasa bersedia untuk memaafkan segala kesalahan dan kesilapan dan tidak membalas segala kejahatan tersebut, sebaliknya membalasnya dengan kebaikan.
  7. Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah atau umpatan orang lain terhadap diri mereka.
  8. Menziarahi mereka ketika mereka sedang sakit.
  9. Mengurus jenazah mereka setelah mereka meninggal dunia.
  10. Tidak menghebahkan segala kesalahan, keaiban dan kesilapan jiran.
  11. Memberikan segala bentuk pinjaman yang mereka perlukan.
  12. Berlemah-lembut dengan anak-anaknya.
  13. Menjaga keselamatan rumah atau anak-anak mereka, ketika mereka tiada di rumah.
  14. Mengucapkan tahniah ketika sempena-sempena tertentu, terutama ketika mereka memperolehi kebaikan dan kurniaan dari Allah.
  15. Mengucapkan takziah ketika mereka ditimpa mala petaka dan bencana.
  16. Tidak membina bangunan yang tinggi sehingga menutup laluan angin ke dalam rumahnya, kecuali setelah mendapat restu dan izin darinya. Jangan menyusahkan mereka, seperti meletakkan sesuatu yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka.
  17. Tidak menyakiti mereka melalui bauan enak dari masakan yang kita masak dari rumah kita. Digalakkan agar kita memberikan sedikit daripada masakan tersebut untuk mereka nikmati.
  18. Menghadiahkan mereka dengan buah-buahan yang kita beli.
  19. Sentiasa mendoakan keselamatan dan kebahagian jiran

“ Jiran Sepakat membawa Berkat”

sumber: http://serangga07.multiply.com/journal/item/21

Rabu, 21 Januari 2009

Salam kepada semua Warga Pangsapuri Seri Melati @Seri Putra

Alhamdulillah hari ini dapat dikelurkan post pertama untuk blog Seri Melati. Blog yang ditujukan khas untuk Warga Pangsapuri Seri Melati ini adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat, berita dan apa juga yang berkaitan dengan Seri Melati ini yang bertujuan untuk kebaikan bersama.
InsyAllah kita akan gunakan platform IT untuk tujuan membina satu Komuniti yang sihat dan mesra.

Pengarang